Khamis, Januari 13, 2011

Momen......

Kadangkala momen yang biasa boleh buat kita beku dalam ketakjuban. Sering selalu dari sekali sekala pula, perkara yang kita anggap biasa itu memberi makna berbeza dan besar untuk orang yang selain kita.

Orang cakap, jangan selalu bercakap perkara yang kita tidak mahu berlaku kepada kita. Kerana lafaz itu adalah doa yang kita minta.

Orang juga cakap, orang yang selalu kata tidak percaya pada cinta adalah orang yang bila mereka bertemu cinta hati mereka, kuasanya merasuk mereka lebih dari kenan orang biasa.

Lucu juga bila melihat orang sebegini berhabitat di sekelilingku. Lagak mereka sama sekali tidak sama dengan apa yang mereka urakan dulu, sewaktu hidup seorang diri tanpa seorang teman. Lucu juga melihat cinta itu berputik, bercambah dan merebak. Lucu juga memerhatikan gelagat mereka yang mesra, nyaman dan menyentuh bak belaian jiwa.

Sebenarnya rasa lucu itu datang dengan kegembiraan. Untuk mengharapkan yang baik akan berterusan dan yang tidak baik minta dijauhkan tuhan, untuk mereka.

Rasa lucu itu juga datang untuk aku menerima keterbukaan hati manusia (yang tulus mengakui perasaan sendiri) dan menerima keadaan di mana kita juga mungkin berada di tempat mereka, jika tuhan menakdirkan kita menjadi diri mereka.

Jelmaan cinta itu, bila difikirkan rasanya, boleh jadi suatu landskap yang sangat abstrak. Kerana elemen yang terpalit untuk membentuk suatu lukisan memori yang indah dan asyik, datang dari hasil cantuman banyak perkara, warna, jenis bahan dan masa. Ada pelbagai isu dan konflik yang wajar dijalani ikut akal dan pertimbangan yang seimbang. Bukan ikut perasaan. Well, lukisan yang abstrak tidak bermakna tidak cantik atau tiada makna kan. Yang penting ia ada identiti dan nilainya difahami orang yang jujur memahami.

Kadangkala momen yang buat kita terpegun datang bagai serangan hendap. Sering selalu dari sekali sekala ia buat hati ini meruntun, untuk rasa lucu, rasa gembira, rasa syukur dan tidak jemu, dan terunggul untuk merasai kesemuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan